Diskaun 50% Tambang LRT & Monorel Diperluas Ke BRT
Release Date: Thu, 2016-09-01
KUALA LUMPUR, 1 September 2016 – Prasarana Malaysia Berhad, pemilik dan pengendali perkhidmatan pengangkutan awam utama di Lembah Klang mengumumkan tambang diskaun 50 peratus kepada pengguna LRT dan monorel yang melakukan perjalanan sebelum waktu puncak pagi akan diperluaskan kepada pengguna BRT.
Mengulas lanjut mengenai pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak ketika majlis pelancaran projek LRT3 pada Khamis lepas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Azmi Abdul Aziz berkata tambang diskaun 50 peratus akan ditawarkan kepada semua pelanggan yang menggunakan mod pembayaran tanpa tunai antara jam 6 pagi hingga 7 pagi pada hari bekerja bermula 16 September 2016 sehingga diberitahu kelak.
“Para pengguna Touch ‘n Go, Kad MyRapid, MyRapid Smart 7, MyRapid Smart 30, warga emas, Pelajar, dan orang kelainan upaya dengan pemegang kad konsesi akan menikmati kadar diskaun dari harga semasa,” kata Azmi pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam, dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin.
Azmi berharap tawaran diskaun 50 peratus ini dapat menggalakkan sebahagian pengguna yang menggunakan perkhidmatan pada waktu puncak pagi antara 7 pagi dan 9 pagi untuk menukar corak perjalanan mereka dengan memulakan perjalanan dengan lebih awal agar kesesakan waktu puncak pagi di beberapa stesen dapat dikurangkan.
"Kami mempunyai keupayaan sistem yang mencukupi secara keseluruhan. Bagaimanapun, terdapat faktor muatan penumpang yang tidak seimbang semasa waktu puncak pagi.
“Adalah penting bagi kami untuk menangani cabaran ini bagi memastikan penumpang kami boleh sampai ke tempat kerja tepat pada masanya,” kata Azmi yang menjangkakan kira-kira 10,000 penumpang akan mengubah corak perjalanan mereka selaras dengan inisiatif menang-menang ini. Mengulas lanjut inisiatif berkenaan, Azmi berkata diskaun 50 peratus akan berkuatkuasa apabila pengguna menyentuh masuk kad bayaran di lorong masuk sebelum 7 pagi pada hari bekerja.
Azmi berkata 66 peratus daripada pengguna LRT dan monorel menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai di mana harga yang tambang yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding tambang bayaran tunai.
Pemegang Kad MyRapid juga boleh menikmati pelbagai faedah melalui program kesetiaan pelanggan MyRapid yang menawarkan diskaun sehingga 55 peratus di kedai-kedai dan tempat-tempat menarik yang terpilih.
Source: Prasarana Rapid KL