PENGUATKUASAAN SURCAJ RM100.00 KEPADA PENUMPANG YANG MENAIKI TREN TANPA TIKET MULAI 1 MAC 2017
31 Januari 2017 (Selasa) - Bermula 1 Mac 2017, KTM Berhad akan menguatkuasakan surcaj sebanyak RM100.00 kepada mana-mana penumpang tren Intercity atau ETS yang membuat perjalanan tanpa tiket atau tidak memiliki tiket yang sah semasa pemeriksaan oleh kakitangan KTM Berhad sama ada di atas tren ataupun di stesen.
Penguatkuasaan surcaj ini bertujuan untuk mendidik dan mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan tiket yang sah sebelum menaiki tren. Tiket yang sah adalah penting untuk memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang serta dilindungi insurans semasa di dalam perjalanan.
Tiket-tiket tren Intercity dan ETS boleh dibeli di kaunter tiket KTM Berhad, secara atas talian (on-line ticketing) melalui laman sesawang www. ktm.com.my, menggunakan applikasi KTMB MobTicket atau melalui agen jualan tiket yang dilantik oleh KTM Berhad.
Penguatkuasaan surcaj ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 117(9) dan 117(10), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari laman sesawang kami di www.ktmb.com.my atau emel ke callcenter@ktmb.com.my.
Dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat