Kenyataan Media: JEJANTAS DARI STESEN MRT KE BANGUNAN BERSEBELAHAN DIBINA OLEH PEMILIK
Kuala Lumpur, 20 Disember 2016: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) ingin memberi penjelasan mengenai isu jejantas yang menghubungkan stesen-stesen MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dengan bangunan-bangunan milik persendirian yang terletak bersebelahan dengan stesen.
Isu ini telah dibangkitkan oleh beberapa orang pengguna Laluan SBK menerusi pelbagai saluran termasuk media sosial berikutan bermulanya operasi bagi Laluan SBK pada hari Jumaat yang lalu, 16 Disember 2016.
Sepanjang tempoh pembinaan Laluan SBK, MRT Corp telah menandatangani beberapa perjanjian bersama pemilik hartanah persendirian, kebanyakannya pembangunan hartanah komersial dan campuran, yang terletak bersebelahan dengan stesen-stesen MRT mengenai pembinaan jejantas.
Memandangkan jejantas-jejantas tersebut akan terletak di luar kawasan kawalan MRT Corp, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa jejantas-jejantas akan dibina oleh pemilik hartanah persendirian yang akan bertanggung jawab ke atas kos dan jadual pembinaan masing-masing.
Bagi MRT Corp pula, stesen-stesen akan disesuaikan untuk membolehkan jejantas-jejantas tersebut berpaut pada struktur stesen.
Bagi Fasa Pertama Laluan SBK, jejantas-jejantas yang telah dipersetujui adalah di:
• Stesen Kampung Selamat, dengan pembangunan D’Sara Sentral dan SqWhere,
• Stesen Surian, dengan Sunway Nexis dan Tropicana Gardens,
• Stesen Mutiara Damansara dengan Surian Tower (yang ada jejantas ke Hotel Royale Chulan, e-Curve, The Curve dan IPC), dan
• Stesen Bandar Utama dengan beberapa hartanah berdekatan seperti Pusat Membeli Belah 1Utama dan 1Powerhouse.
Walaupun usaha-usaha telah dibuat untuk menyelaraskan masa bagi menyiapkan jejantas-jejantas ini, jadual pembinaan jejantas tersebut adalah di luar kawalan MRT Corp.
Memandangkan jejantas-jejantas ini tidak dapat disiapkan bagi pemulaan Operasi Fasa Pertama, MRT ingin menasihatkan pengguna-pengguna MRT cara alternatif ke bangunan hartanah persendirian bersebelahan sementara menunggu pembinaan jejantas selesai.
Dari Stesen Surian, pengguna MRT boleh berjalan keluar menggunakan Pintu B dan berjalan kaki ke Sunway Nexis.
Dari Stesen Mutiara Damansara ke e-Curve dan bangunan-bangunan lain, pengguna MRT boleh keluar dari Pintu B ke Jalan PJU 7/1, dan berjalan ke Jalan PJU 7/2 dan kemudiannya ke Hotel Royale Chulan dan e-Curve. Bangunan e-Curve mempunyai jejantas pejalan kaki ke bangunan-bangunan lain seperti The Curve dan IPC.
Dari Stesen Bandar Utama ke Pusat Membeli Belah 1 Utama, pengguna MRT boleh keluar dari stesen dengan menggunakan jejantas pejalan kaki ke bangunan 1Powerhouse terletak di Persiaran Bandar Utama.
Mereka perlu pergi ke aras tingkat bawah untuk menaiki bas pengantara T812 untuk ke Pusat Memeli Belah 1 Utama (Bangunan Lama). Penguna MRT juga boleh ke Stesen Mutiara Damansara dan menaiki bas pengantara T809 di Pintu B, yang akan membawa mereka ke Pusat Membeli Belah 1 Utama (Bangunan Baru). Bas-bas pengantara adalah percuma sehingga 16 Januari 2017.
Difahamkan bahawa pihak pengurusan Pusat Membeli Belah 1 Utama telah memulakan servis bas ulang-alik percuma yang menghubungkan stesen dengan pusat beli belah itu. Maklumat terkini mengenai perkhidmatan ini boleh didapati di 1Powerhouse.
Pembinaan untuk jejantas-jejantas yang lain sedang berjalan memandangan pembangunan masing-masing masih belum disiapkan.
-tamat/-